Wednesday, December 16, 2009

Nur kehidupan

Nur kehidupan
Filed under: General — saadiah | October 9, 2009 @ 4:35 am (Views: 89)
Oleh Siti Nur Almizan Aripin

Ustazah Asni didik kanak-kanak dalami al-Quran

MENDENGARKAN alunan kalimah suci al-Quran lancar meniti di bibir kanak-kanak kecil menerbitkan rasa kagum. Lebih mengagumkan, mereka bukan hanya mengenal huruf, malah turut mahir mengalun bacaan secara bertaranum.


Perantara rancangan Kalamullah yang disiarkan di TV3, Ustazah Asni Mansor, berkata memupuk minat kanak-kanak membaca al-Quran perlu dimulai dengan pendedahan awal bertujuan menerbitkan rasa cinta mereka terhadap kalam Allah.

"Kanak-kanak tidak suka dipaksa dan begitu juga ketika proses mengenalkan mereka kepada Al-Quran kerana paksaan tidak menerbitkan rasa cinta secara semula jadi.

"Justeru, ibu bapa memainkan peranan penting ketika mengenal anak-anak kepada al-Quran misalnya membiasakan mereka dengan bacaan ayat suci sedari kecil selain membawa mereka bersama ke majlis ilmu dan juga ke kelas membaca al-Quran," katanya.

Kata Asni yang turut membuka pusat tuisyen khusus untuk mengaji al-Quran, mendedahkan dan mengajar adalah dua aspek utama dalam mengasuh anak kecil mengenal al-Quran.

"Sebagai orang Islam, ibu bapa sendiri digalakkan membaca al-Quran sejak bayi masih berada di dalam kandungan supaya apabila lahir ke dunia, suasana itu sedikit sebanyak dapat membantu memupuk minat anak kepada al-Quran selepas lahir ke dunia.

"Pada usia empat tahun, kanak-kanak sudah boleh diajar membaca al-Quran secara formal iaitu dimulai dengan mengenal huruf dan jika ibu bapa berhasrat untuk mengajar anak mereka dengan ilmu taranum, ia boleh dimulai seawal usia tujuh tahun," katanya.

Menjadi kewajipan bagi umat Islam yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT menjaga pemakanan mereka, begitu juga dengan mereka yang ingin membaca serta menghafaz al-Quran.

Asni berkata, menjadi fitrah manusia, kemampuan otak mengingat kadangkala tidak selaras dengan keperluan yang perlu ditanggung justeru, Allah mewujudkan pelbagai khazanah alam bagi merangsang otak.

"Mengambil keberkatan daripada sunnah Nabi, pemakanan buah badam, kismis, susu dan madu digalakkan di kalangan kanak-kanak serta orang dewasa yang ingin menghafaz Al-Quran.

"Hindarkan diri daripada memakan makanan berupa organ dalaman seperti hati, pedal atau limpa malah kajian saintifik juga mendapati kepala ikan mengandungi sejenis asid yang boleh melemahkan fikiran begitu juga dengan makanan masam kerana ia akan mengganggu sistem otak manusia," katanya.

Sesuai dengan hasrat untuk melahirkan generasi muda celik Al-Quran, Asni dan suami, Mohd Nasir Rustam Al-Hafiz kini dalam perancangan untuk memulakan tadika berkonsepkan ala madrasah bertempat di Reko Sentral, Kajang.

"Tahsin Alquran Training Centre terbuka kepada kanak-kanak berusia seawal empat tahun dan kami mensasarkan pelajar berkenaan khatam Quran apabila menginjak usia enam tahun.

"Pusat ini juga terbuka untuk individu dewasa yang berhasrat untuk belajar mengaji secara sistematik malah sehari dalam seminggu, kaum ibu berpeluang belajar tafsir dan mengaji secara percuma.

"Kami juga menawarkan program terapi Quran secara percuma kepada wanita yang berdepan masalah hidup tapi dengan syarat, mereka perlu menghubungi kami terlebih dulu untuk temujanji," katanya.

(http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Ratu/20091009091013/Article/index_html)

No comments:

Post a Comment